Monday, November 2, 2009
Pemberian susu lembu punca gejala sosial?
Oleh Halina Mohd Noor
Kisah Aminah upah Halimatusaadiah sebagai ibu susuan Nabi Muhammad peringatan penting.
MUNGKINKAH parahnya penyakit sosial di kalangan masyarakat hari ini adalah akibat meminum susu lembu sebagai ganti susu ibu? Mahu atau tidak, inilah hakikat yang perlu dipertimbangkan semula kerana bijak pandai mengatakan, ‘Kita adalah apa yang kita makan’.
Tidak hairanlah manusia yang dilahirkan, tetapi diberi minum susu lembu memiliki ciri seekor lembu atau kata lain, bersifat kebinatangan. Bunyinya keras, tetapi lihatlah masyarakat hari ini yang lebih ganas daripada binatang liar.
Sumbang mahram, rogol dan bunuh, dera dan sebagainya semakin menjadi-jadi. Keganasan sering kali dipilih sebagai kaedah penyelesaian masalah walaupun bagi masalah kecil.
Kebimbangan wujud manusia berciri kebinatangan hari ini disuarakan tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz ketika menyampaikan ceramah sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, sikap lebih gemar memberi susu lembu kepada bayi berbanding susu ibu menyebabkan masyarakat tidak sedar bahawa mereka sedang menjana manusia ‘Nas’ yang bersifat kebinatangan.
“Manusia terbahagi kepada dua iaitu manusia ‘Nas’ yang tidak menggunakan akal dan suka melakukan kemungkaran dan satu lagi, manusia ‘insan’ yang lebih cenderung kepada kebaikan dan memelihara diri daripada kejahatan.
“Jika diperhatikan, di dalam al-Quran ada 300 ayat yang bermula dengan perkataan ‘Wahai Nas’ yang diturunkan pada zaman jahiliah di Makkah, manakala hanya 82 ayat yang bermula dengan ‘Wahai insan’ yang diturunkan di Madinah. Ini menunjukkan manusia ‘insan’ yang bercirikan kemanusiaan kurang berbanding manusia ‘nas’. Malangnya, manusia hari ini semakin tergolong ke dalam manusia ‘nas’,” katanya yang menyampaikan ceramah bertajuk Menjamin Sahsiah dan Hubungan Sesama Manusia .
Beliau berkata, jenayah yang dilakukan masyarakat hari ini jauh lebih buruk daripada masyarakat jahiliah. Sungguhpun mereka dikenali kerana kekufuran, pada zaman berkenaan tidak ada bapa yang merogol anak sendiri atau membuang bayi yang dilahirkan ke merata tempat.
Tahap ‘kebinatangan’ mereka tidak seteruk masyarakat hari ini kerana mereka tidak memberikan bayi mereka dengan susu binatang lain.
“Peranan ibu yang utama ialah menyusukan anak dengan susu badan seperti yang ditentukan dalam al-Quran. Ini sudah ditunjukkan ibu Nabi Muhammad, Aminah. Selepas lapan bulan Muhammad dilahirkan, susu Aminah kering, tetapi dia tidak terfikirpun untuk menggantikannya dengan susu kambing yang banyak di rumahnya.
“Sebaliknya, Aminah lebih sanggup mengupah Halimatusaadiah untuk menyusukan Muhammad. Melalui kisah Aminah, Allah sengaja hendak mengajar umatnya bahawa wanita lain boleh menyusukan anak orang lain dan mereka digelar ibu susuan yang haram berkahiwn dengan anak dan saudara daripada ibu susuan tadi. Syaratnya, mereka perlu disusukan sehingga kenyang,” katanya.
Ada rahmat terselindung di sebalik persoalan, mengapa susu manusia terlekat pada dada berbanding binatang lain. Ini bagi memudahkan ibu memeluk bayi sewaktu menyusu di mana pelukan ini akan menjana sahsiah si anak dan mengukuhkan ikatan ibu anak.
“Sedangkan haiwan juga ada sifat keibuan dengan sanggup menyusukan anak mereka. Mengapa manusia tidak sanggup, malah tergamak memberikan susu haiwan lain kepada anaknya? Ibu bapa yang memberikan anak susu lembu dan anak membesar menjadi jahat, ibu bapa itu akan dipersalahkan dunia dan akhirat,” katanya.
Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, tetapi kedua ibu bapa menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Terpulang kepada ibu bapa untuk memilih yang terbaik buat anak mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
beruntungnya kita dapat pengetahuan ini. hebah-hebahkanlah perkara yang baik
ReplyDelete