Monday, July 27, 2009

Teknik Penyusuan Susu Ibu Yang Betul



1. Pastikan anda selesa (duduk / baring).
2. Pegang bayi rapat, keseluruhan badan bayi menghadap anda (perut bertemu perut).
3. Sentuh puting anda ke mulut bayi. Tunggu sehingga ia membuka mulut dengan luas seperti menguap, masukkan tampok hitam (aerola) ke mulut bayi.
4. Dagu bayi menyentuh payudara.
5. Kedengaran bunyi bayi menelan.

--Dipetik dari "Penyusuan Susu Ibu Pilihan Terbaik" (Risalah keluaran Hospital Kuala Lumpur)

Kepentingan Penyusuan Awal Dalam Masa 1 Jam Selepas Bersalin



1. Untuk merangsang pengaliran susu yang cepat.
2. Mengelakkan bengkak payudara.
3. Pemberian susu awal (kolostrum) yang kaya dengan protin serta antibodi untuk mengelakkan bayi dari jangkitan.
4. Mengelakkan perdarahan selepas bersalin.
5. Kolostrum menjadi imunisasi yang pertama untuk bayi.

--Dipetik dari "Penyusuan Susu Ibu Pilihan Terbaik" (Risalah keluaran Hospital Kuala Lumpur)

Penyusuan Sepenuhnya (Exclusive)


Takrifan Penyusuan Eksklusif-
Bayi diberikan susu ibu sahaja tanpa makanan atau minuman lain(termasuk air masak). Penyusuan susu ibu sepenuhnya amat penting untuk tempoh 4 ke 6 bulan pertama kehidupan bayi.

Kenapa Penyusuan Eksklusif Penting?
1. Susu Ibu Memberi Perlindungan dari Penyakit kerana di dalam Susu Ibu mengandungi:
- "Bifidus Factor" yang dapat membantu pembiakan koloni Laktobacillus. Koloni ini bertindak sebagai pertahanan kepada serangan pembiakan E.Coli dalam usus.
- Lactoferrin bergabung dengan zat besi menyebabkan bakteria tidak mudah membiak
- Banyak agen anti-inflamatory membantu proses inflamatori yang tidak terkawal yang menyebabkan penyakit
- Lymphocite dan Macrophages yang membantu melawan penyakit
- Antibodi untuk melawan penyakit yang telah terdedah kepada ibu tersebut
- Hormon dan Growth Factor yang membantu pertumbuhan dan kematangan sistem immune bayi, perkembangan otak dan lain-lain
- Enzime lipase dan laktase yang membantu pembentukan sistem penghazaman bayi

2. Susu Ibu Memberi Perlindungan dari Alahan(Allergy) kerana- Sistem usus bayi mudah terbentuk bila diberi susu ibu. Protein yang diterima oleh sistem bayi adalah protein manusia bukan protein asing.
- Pendedahan yang rendah terhadap protein asing menghasilkan toleransi dan bukannya kesan alahan (allergic)
- Zat seperti zink dan "long chain polyunsaturated fatty acid" di dalam susu ibu membantu pembentukan sistem immune bayi
- Dengan memberi bayi sekali sahaja susu formula pada bayi di hari yang pertama boleh menggalakkan allergik. Semua susu formula termasuk susu soya boleh memberi risiko allergik seperti ruam, atopik, asthma, eczema dan lain-lain

3. Pemberian Susu Ibu memberi banyak kebaikan kepada bayi seperti:-
Kadar SID(Cot death) yang rendah
- Kadar kencing manis (IDDM), Otitis Media yang rendah
- Respon pelalian yang lebih baik
- Kurang masalah gigi "Orthodontik"
- Perkembangan tumbesaran, emosi dan sosial yang lebih baik
- Kanak-kanak yang lebih pintar

* Pemberian bahan makanan atau minuman yang lain semasa tempoh 4-6 bulan pertama ini boleh mengurangkan kesan kebaikan yang disebut di atas kerana bahan-bahan asing tadi akan membersihkan perut bayi atau bertindakbalas secara tidak semulajadi di dalam perut dan usus bayi. Tambahan pula pengambilan bahan lain akan memenuhkan perut bayi (terlalu mengenyangkan) dan menyebabkan bayi tersebut tidak mahu menyusu secukupnya dari sumber susu ibu.

--Rujukan dari Kurikulum Panduan Pengurusan Laktasi dan Kursus 18 jam PPUM, KL

Sunday, July 26, 2009

Latihan Eksklusif untuk KUSSIM Bil.1/2009





Untuk maklumat lanjut, hubungi :
Kumpulan Sokongan Susu Ibu Daerah Maran (KUSSIM)
d/a Pejabat Kesihatan Daerah Maran,
Aras 3, Bangunan Persekutuan,
26500 Maran, Pahang
(u/p : En. Mohd Khairulnizam Baharum)

Tel : 09-477 1346/1267/2334
Faks : 09-477 1216


Kehadiran anda amatlah dialu-alukan.
Jumpa disana!!!!

Bila Doktor Menjadi Ibu...

Semasa Raya Haji yang lepas, saya berkunjung ke rumah abang saya yang baru pulang dari luar negara. Semasa bersembang dengan kakak ipar saya, biasalah beliau bercerita pelbagai isu semasa. Seperti biasa, antara topik yang wajib dibincangkan adalah topik penyusuan. Kebetulan, kakak ipar saya ini bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital universiti di Malaysia. Beliau sering menceritakan kekesalan beliau tentang kurangnya kesedaran ibu-ibu untuk menyusukan anak sendiri, semasa beliau bertugas . Kali ini, beliau menceritakan pengalaman beliau menasihatkan seorang pelajar perubatan (yang seharusnya lebih arif tentang khasiat dan kepentingan penyusuan susu ibu) untuk menyusukan bayinya.

Menurut kakak ipar saya, pelajar ini telah bersalin semasa sedang belajar di tahun akhir. Oleh kerana beliau sudah dekat untuk menamatkan pembelajarannya, ibu muda ini langsung tidak mahu menyusukan bayinya kerana katanya "saya hanya dapat cuti 14 hari dan susahlah saya nak meneruskan penyusuan sebab anak ini saya hantar balik ke kampung". Puas kakak ipar saya memujuknya supaya mencuba juga menyusukan anak itu, sekurang-kurangnya berikanlah nikmat kolostrum kepada bayi yang dahagakan khasiat susu ibu itu. Sebaliknya, apabila kakak ipar saya kembali ke bilik pelajar ini, beliau sudah bersedia dengan botol susu formula di tangan, sedangkan peraturan di hospital itu tidak membenarkan botol susu dibawa masuk. Apa nak dikata, pesakit itu adalah bakal doktor, sedangkan kakak ipar saya hanyalah jururawat yang hanya mampu memberikan pandangannya sahaja.

Pada pandangan saya, jika kita benar-benar tahu tentang khasiat susu ibu, apalah salahnya berkorban sedikit untuk bayi itu sewaktu dia memerlukan kasih dari ibunya. Jika perlu melanjutkan tempoh pembelajaran kerana hendak memberikan yang terbaik kepada bayi itupun masih berbaloi. Malangnya, orang yang sepatutnya lebih mengerti mengenai khasiat susu ibu ini pun, tidak mahu berbuat demikian, apatah lagi insan lain yang memang kurang pengetahuan dan kemudahan untuk meneruskan penyusuan. Saya bimbang jika lebih ramai graduan perubatan di negara ini, mempunyai sikap yang sama seperti pelajar yang diceritakan di atas. Bagaimana hendak menggalakkan pesakit mereka nanti untuk menyusu jika mereka sendiri tidak cuba untuk mempraktikkannya.

Memang susah dan memang banyak cabarannya untuk meneruskan penyusuan, lebih-lebih lagi bagi ibu yang masih menuntut di menara gading. Tetapi seharusnya, ibu-ibu ini sudah mempertimbangkan lebih dahulu lagi tentang keadaan tersebut sebelum menjejakkan kaki ke jinjang pelamin kerana jika tidak sanggup memikul tugas sebagai ibu, haruslah juga dipertimbangkan kesediaan untuk menjadi isteri.

Alang-alang menyeluk budu, biarlah sampai ke pangkal lengan,
Alang-alang menjadi ibu, susukanlah anak sampai kenyang.

Wallahu A'lam.

sumber dari www.susuibu.com

Bila Anak Menyusu, Si Ayah Janganlah Merajuk!!



Ramai juga kaum ayah yang merungut, apabila si anak asyik menyusu dengan ibunya, si ayah rasa tersisih seolah tidak diperlukan. Janganlah merajuk wahai si ayah! Ikatan kasih sayang terhadap seorang anak tidak lengkap jika hanya dicurahkan oleh si ibu. Kasih sayang ayah memang amat diperlukan dan ini dapat meringankan beban buat si ibu terutama dalam menjalani bulan-bulan awal kelahiran.

Memang hampir 50 peratus masa bayi yang baru lahir akan dihabiskan bersama ibunya. Masa ini kebanyakannya dihabiskan semasa bayi menyusu dengan si ibu. Si ayah akan mengatakan: 'Untunglah si ibu kerana semasa proses penyusuan, si anak dapat lebih mengenali ibunya. Apa tidaknya, masa menyusu anak akan dapat menyentuh ibu, mencium bau ibu, merasa aliran susu ibu dan terus terlena dalam dakapan ibu. Semua kredit dihadiahkan buat ibu.' Begitulah antara luahan rasa hati seorang ayah.

Namun hakikatnya, banyak lagi peranan yang dapat dimainkan oleh ayah bagi menyempurnakan curahan kasih sayang terhadap si anak. Si ayah boleh memandikan anak. Belailah anak kecil ini dengan penuh kasih sayang. Selepas memandikan atau apabila bayi hendak tidur, si ayah boleh mengurut bayi agar bayi berasa selesa, nyaman dan selamat untuk berehat. Selepas bayi selesai menghisap susu, si ayah boleh mengambil alih tugas menyendawakan bayi. Bila perutnya sudah kenyang, pasti ada 'hasil' yang dikeluarkan dan si ayah boleh membantu membersihkan bayi. Sebenarnya memang banyak aktiviti yang boleh dikongsi bersama seorang ayah dengan bayinya. Kesemua aktiviti ini melibatkan setuhan kulit ke kulit. Ingatlah sentuhan kulit ke kulit amat penting dalam membina ikatan kasih sayang. Kelebihan ini bukanlah hak mutlak seorang ibu sahaja.

Oleh kerana itu wahai sang ayah, tempoh cuti 'Paternity' yang diberikan janganlah disia-siakan. Ambillah peluang ini sepenuhnya untuk mengenali anak anda. Jangan biarkan si ibu keseorangan mengendalikan segalanya tentang si anak. Pada hari-hari bekerja yang lain, cubalah pulang ke rumah seawal mungkin untuk sama-sama melalui hari-hari awal membesarkan anak. Pasti, segala kasih sayang yang dicurahkan ini akan mendapat hasil yang setimpal, jika tidak dari anak itu sendiri, kepuasan diri sendiri kerana dapat melaksanakan yang terbaik pasti dikecapi. InsyaAllah segala usaha murni yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat balasan yang baik, jika tidak di dunia, di akhirat kelak pasti.

Polisi Penyusuan Ibu Kebangsaan




Tahukah anda bahawa negara kita mempunyai Polisi Penyusuan Ibu Kebangsaan? Polisi ini menyatakan...
"Semua ibu digalakkan menyusukan anaknya dengan susu ibu SAHAJA selama 4 ke 6 bulan dan meneruskannya sehingga anaknya berumur 2 tahun. Makanan tambahan perlu dimulakan semasa anak berumur 4 ke 6 bulan.

Usaha pada peringkat kebangsaan ini tidak berakhir dengan polisi sahaja, malah garis panduan juga disediakan bagi hospital-hospital menjayakan Usaha Penyusuan Susu Ibu. Terdapat 10 langkah penting untuk menjadikan sesebuah hospital itu Hospital Rakan Bayi (Baby Friendly Hospital)
1. Mengadakan SATU POLISI bertulis mengenai penyusuan ibu.
2. Melatih semua kakitangan kesihatan dalam kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan polisi ini.
3. Memberitahu ibu-ibu memulakan penyusuan ibu dalam 1 jam selepas bersalin.
4. Membantu ibu-ibu memulakan penyusuan ibu dalam masa 1 jam selepas bersalin.
5. Memberi tunjuk ajar kepada para ibu mengenai cara penyusuan yang paling baik.
6. Menentukan bayi baru lahir tidak diberi minuman atau makanan selain daripada susu ibu, melainkan atas sebab-sebab perubatan.
7. Mengamalkan "Rooming-In", di mana bayi dan ibu diletakkan bersama setiap masa (24 jam sehari)
8. Menggalakkan penyusuan ibu mengikut kehendak bayi.
9. Menentukan bayi tidak diberi puting tiruan atau puting kosong.
10. Membantu penubuhan kumpulan penyokong penyusuan ibu dan rujuk ibu-ibu kepada kumpulan ini apabila keluar dari hospital atau klinik.

Walau bagaimanapun, usaha semurni ini tidak akan berjaya seandainya, ibu itu sendiri tidak berkemahuan memberikan susunya kepada bayinya yang baru lahir. Segala langkah yang diusahakan oleh pihak hospital ataupun badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan ini tidak akan berhasil sekiranya IBU itu sendiri tidak mengambil inisiatifnya sendiri untuk melaksankan TANGGUNGJAWAB tersebut.

Penyusuan Susu Ibu Harus Diteruskan Semasa Wabak Influenza Khinzir Melanda


Memetik kenyataan media, International Lactation Consultant Association (ILCA), dalam meningkatkan persediaan menghadapi ancaman selsema khinzir, ILCA menggalakkan ibu-ibu, anggota kesihatan dan masyarakat umumnya supaya mempromosi, menyokong dan menggalakkan penyusuan susu ibu, kerana melaluinya, bayi diberi perlindungan melalui antibodi manusia yang sangat berkesan untuk melawan penyakit dan kesakitan.


ILCA juga menyokong saranan Centers for Disease Control and Prevention (CDC), melalui kenyataanya, “Interim Guidance – Pregnant Women and Swine Influenza: Considerations for Clinicians,”. Di dalam kenyataan tersebut, CDC menasihatkan ibu-ibu meneruskan penyusuan di samping pengambilan ubatan antiviral sekiranya dinasihatkan oleh pegawai perubatan. Garis panduan penuh boleh diperolehi di, http://www.cdc.gov/swineflu/clinician_pregnant.htm, di mana ibu menyusu yang mendapat jangkitan virus tersebut boleh mengambil langkah berhati-hati dengan membasuh tangan dan menutup mulut/hidung menggunakan sarung muka (mask). CDC menambah lagi, walaupun pemindahan jangkitn influenza khinzir menerusi susu ibu masih belum diketahui, laporan jangkitan selsema bermusim adalah sangat jarang berlaku.

Menurut Angela Smith, Presiden ILCA, ramai pakar perubatan percaya, apabila simptom selsema dikesan pada seseorang ibu yang menyusu, bayi beliau telahpun terdedah kepada penyakit tersebut. Oleh itu, pemberian antibodi manusia dan memberikan faktor perlindungan lain menerusi penyusuan susu ibu dapat membantu melindungi bayi tersebut. Tambahan pula pemberian susu formula telah diketahui umum boleh meningkatkan risiko mendapat cirit birit dalam kalangan bayi.

Memandangkan vaksin khusus untuk penyakit influenza khinzir masih belum ditemui, penggunaan vaksin selsema yangbiasa digunakan untuk jangkitan selsema bermusim yang biasa digunakan adalah selamat dan disarankan penggunaannya oleh ibu-ibu yang sedang menyusu.

"Kami menyarankan semua anggota kesihatan dan keluarga mempromosi, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu pada waktu-waktu kecemasan seperti ini atau di masa akan datang" kata Angela Smith. Menurutnya lagi, "Ibu-ibu baru memerlukan maklumat yang tepat dan sokongan untuk terus memberikan perlindungan terbaik terhadap bayi mereka: iatu Susu Ibu."


International Board Certified Lactation Consultants (IBCLCs) adalah anggota kesihatan profesional bertauliah yang memberi fokus dalam membantu ibu-ibu untuk memulakan dan meneruskan penyusuan susu ibu. Untuk membantu ibu-ibu mengenal pasti IBCLC di dalam komuniti mereka, layari laman web ILCA di www.ilca.org dan gunakan pautan "Find a Lactation Consultant Directory" atau hubungi terus ILCA di ibu pejabat mereka di info@ilca.org atau 919-861-5577.


Petikan asal kenyataan akhbar ILCA, boleh diperolehi di www.ilca.org & www.susuibu.com

Latihan Eksklusif KUSSIM Bil.1/2009











Friday, July 24, 2009

Logo, Moto & Slogan KUSSIM




Keterangan / Petunjuk logo :

1. Bulan Sabit (Merah) = Berani,Berkeyakinan
2. Bulatan (Putih) = Kerjasama,Telus,Kesucian
3. Segiempat sama (Latarbelakang) Warna tudung = Harmoni,Sepakat
4. Logo Ibu dan Anak (light pink) = Keakraban,Bertanggungjawab,Kasih Sayang
5. KUSSIM = Kumpulan Sokongan Susu Ibu Maran

Moto :
“Sedia membantu”

Slogan :
“Generasi sihat – Keluarga bahagia”

Thursday, July 23, 2009

Mesyuarat Bil.3/2009 & Aktiviti KUSSIM - Lawatan Ke Wad Bersalin Hosp. Jengka

Mesyuarat KUSSIM kali ke-3 telah berlangsung dengan suasana harmoni di Hospital Jengka pada 23 Julai yang lalu. Aktiviti seterusnya adalah lawatan ke Wad Bersalin Hospital Jengka.